Quantcast
Channel: masam manis
Viewing all articles
Browse latest Browse all 843

KETAYAP TELUR

$
0
0
Assalamualaikum


Zaman anak-anak ita bersama keluarga memang sukar untuk ita lupakan. Banyak sangat memori-memori indah untuk ita kenang. Ranjau kehidupan yang penuh berliku, bagaikan roda adakala di atas adakala di bawah.. Namun semuanya adalah satu pengalaman hidup yang banyak mendewasakan ita.

Dilahirkan di tengah-tengah bandar Johor Bahru, di kaki Bukit Timbalan yang menjadi mercu tanda. Tiba-tiba terpaksa pula berhijrah ke kawasan pendalaman yang tidak berpenghuni. Hidup di temani agas dan cengkerik yang sentiasa mengalunkan irama setiap malam menjelma. Mandi air dingin dari telaga setiap pagi dan malam bertemankan api pelita. Namun ita bersyukur kerana bumi Allah yang terbentang luas ini sentiasa memberikan rezeki buat kami sekeluarga. 


Ita bangga dengan mak..
Sedikit pun tidak pernah mengeluh walau pelbagai kesusahan di tempuh.
Melayan kerenah anak-anak yang ramai dengan seribu ragam.
Mak memang seorang yang cukup sabar.. mampukah ita menjadi seorang ibu yang penyabar seperti mak.
Ita selalu berdoa dan berharap agar ita memiliki sifat sabar seperti mak dan kuat semangat dan tak pernah berputus asa seperti bak..
Ita juga mengharapkan anak-anak juga memiliki sifat itu..

Pagi-pagi hari lagi mak dah bangun. Menyediakan segala juadah untuk jualan. Salah satu kuih yang kerap mak buat adalah kuih dadar.
Dulu ita selalu tanya mak..
"napa panggil kuih dadah.. kata ustazah dadah kan tak boleh makan.. berdosa!" mak tergelak.
"ini bukan kuih dadah.. tapi kuih dadar"
Mak menerangkan kaedah membuat kuih dadar dan dari kaedah penyediaannya itulah namanya di berikan seperti juga kuih-kuih yang lain..


Bila di sekolah kawan-kawan pula mengelarnya kuih ketayap aikkk!! pelik pulak namanya..
Bila pulang ke rumah ita terus tanya mak..
" napa kawan-kawan panggil kuih ketayap?"
Setahu ita ketayap adalah alas kepala warna putih yang sering di pakai atuk.
Dari situ ita belajar sesuatu yang baru,  "lain padang lain belalang " kata mak

Kuih dadar yang biasa mak buat berjual, berintikan kelapa yang dimasak bersama gula melaka. Bila musim durian mak akan letakkan juga isi durian untuk menambahkan lagi keenakan rasanya. Tapi harganya tak pula bertambah, masih lagi di jual 10 sen 2 batang.
" napa mak tak jual mahal sikit kan ada durian"
" durian ni kan pokok kita yang Allah bagi rezekinya.. tak salah kita berkongsi untuk di rasa oleh orang lain.." 'Hati gajah sama di lapah, hati kuman sama dicecah'


Kuih dadar telur ni biasa mak sediakan untuk sarapan kami adik beradik. Bila dah setiap hari makan kuih dadar berintikan kelapa adakalanya terasa jemu juga.. 
Mak faham selera anak-anaknya.. lebih-lebih lagi abang yang tak suka makan kuih yang manis. Setiap hari mesti ada sambal tumis di rumah, kerana itulah lauk kegemaran abang. Makan nasi dengan sambal tumis sahaja pun bertambah-tambah abang makan, buatkan mak tersenyum..

Bila kuih dadar di letakkan inti telur hancur dan sambal tumis, lagi berselera lah kami mengadap sarapan setiap hari.. sampai tak sempat-sempat mak nak mendadar.. masing-masing dah menghulur piring..
Walaupun ita tahu mak penat.. bila melihat anak-anak berselera makan pasti hilang penat mak..



KETAYAP TELUR

300 gm tepung gandum
650 ml air
1 sudu teh tepung jagung
1 biji telur
1 sudu teh garam
1 sudu makan minyak masak
sedikit pewarna

Satukan semua bahan di atas di dalam bekas
Kacau rata
Masukkan dalam blender dan kisar
Kemudian di tapis

Sediakan kuali leper untuk membuat crepe yang tidak melekat
Panaskan hingga kuali benar-benar panas
Oleskan sedikit minyak pada kuali
Kemudian kecilkan api
Tuang satu senduk kecil ke dalam kuali dan masaklah adunan hingga menjadi crepe
Adunan tak perlu dibalikkan
Bila permukaannya dah kering terus angkat
Segera letakkan inti telur dan sambal tumis
Gulung seperti bentuk selinder atau kuih ketayap
Sangat enak di jadikan sarapan pagi.


INTI TELUR

3 biji telur
1 labu bawang besar ~ di dadu kecil
Secubit garam
3 sudu besar sambal tumis

Telur di kocok
Masukkan garam dan bawang hiris
Pukul sebati

Pihjarkan minyak dalam kuali
Masukkan bancuhan telur tadi
kacau selalu telur hingga hancur dan masak
Angkat
Campurkan dengan sambal tumis dan gaul rata









Viewing all articles
Browse latest Browse all 843