Kuih yang menjadi kegemaran emak ita. Emak memang suka sangat makan kuih ni.. Kata mak kuih ni sedap dengan rasa harum kacangnya.. wangi tahi minyaknya dan lemak manis gula merahnya. Tapi mak ita macam biasa cukup cerewet bab kuih tradisional. Hanya yang berkenan pada tekaknya sahaja yang dia akan makan dengan begitu berselera sekali, tapi kalau tak cukup syaratnya.. kurang manis dan lemaknya.. awal-awal lagi dia dah reject.
Walaupun emak suka sangat dengan kuih yang satu ini.. namun ita tak pernah nampak emak membuatnya. Biasa emak akan beli atau pun atuk yang buatkan.
Ita pula.. alamak.. ita memang tak berapa gemar kuih ni.. tak tahulah kenapa dalam banyak-banyak kuih talam, kuih ini bukanlah kuih yang ita gemari.. nak menjamah pun ita tak minat apalagi nak merasainya dengan sepenuh hati.
Baru-baru ini ita ada terpandang beberapa rakan kogsikan dan tayang kuih koleh kacang yang mereka sediakan di FB. Terdetik di hati nak mencuba. Sebab keinginan nak mencuba kerana kuih ni kegemaran mak.. ita harap ita dapat buatkan untuk mak satu hari nanti.. Nampak macam mudah bahan pun tak lah susah sangat nak dapat. Yang paling ita teruja sebab kuih talam ni tak payah nak kukus bagai... masak atas dapur aje.. mudah dan ringkas.
Walaupn stepnya agak banyak, tapi semuanya yang mudah dan ringkas. Masaknya pun tak lama, sesuai untuk buat minum petang keluarga.
Tak sangka kuih yang ita tak gemari ini rupanya sedap sangat. Resepi yang ita kongsikan ini cukup enak rasanya, semuanya secukup rasa.. dengan lemak manisnya dan harum bau tahi minyaknya.. Kuihnya pun cukup lembut dan memang tak rugi mencuba. Tak sangka ita boleh tergoda dengan kuih yang satu ini.. Benarlah bagai di kata.. tak cuba tak tahu.. bila dah cuba boleh jatuh cinta di buatnya.
Hari ini ita kongsikan resepi ini disini pula. Untuk rujukkan rakan-rakan. Ikut step yang ita terangkan, pasti menjadi kuih ni nanti. Adunan asal oleh tuan rumah agak banyak. Ita buat hanya 1/2 daripanya sahaja.. cukuplah untuk ita buat minum petang kami sekeluarga. Dapat juga berikan sepiring dua pada jiran tetangga.
Terima kasih pada tuan empunya resepi. Terima kasih kongsikan resepi kuih koleh kacang yang enak dan lembut ni...
KOLEH KACANG
Resepi Oleh : EnaZamri Rashid
Resepi yang ita sediakan ini adalah 1/2 adunan daripada resepi asal dan ita menggunakan loyang 8 inc. Sedang elok aje ketinggiannya.
Sebelum menyediakan adunan koleh kacang kita kena sediakan dahulu tahi minyak untuk di taburkan atas kuih ini .
TAHI MINYAK ( bahan A )
500 gm santan kelapa segar ~ guna santan pekat, beli santan kelapa segar jangan guna santan kotak ya sebab santan kotak tak berapa cantik kejadiannya nanti.
Secubit garam
Satukan santan dan secubit garam dalam kuali non stick.
Masak dengan api yang sederhana hingga adunan kental
Kecilkan api dan terus memasak hingga terbit minyak dan terhasilnya tahi minyak yang kuning keemasan
Angkat dan toskan minyaknya
Minyaknya di simpan untuk di letakkan dalam adunan koleh kacang nanti
Tahi minyak pula untuk di taburkan atas kuih
Sekarang kita sediakan pula air gula
AIR GULA ( bahan B )
200 gm gula merah atau gula timbang ~ pilih yang warnanya agak kehitaman
50 gm gula pasir
150 ml air
2 helai daun pandan di simpul
Satukan semua bahan dan masak atas dapur hingga gula melarut
Tutup api dan tapis
Bahan C
150 gm tepung kacang hijau ~ yang telah di sangai ( tepung kacang hijau ya bukan kacang peas)
secubit garam
200 ml santan kelapa segar
650 ml air
1 helai daun pandan ~ di simpul
1 sudu makan minyak kelapa ~ baki dari tahi minyak yang diasingkan
Satukan semua bahan C kecuali daun pandan dan minyak kelapa
Masukkan dalam blender dan kisar
Satukan bahan kisar ( bahan C ) dan air gula ( bahan B) kedalam kuali
Masukkan daun pandan
Masak atas dapur dengan api yang sederhana sambil senantiasa di kacau
Masak hingga ia meletup-letup kecil
Kecilkan api dan tambahkan minyak kelapa
Kacau lagi hingga adunan pekat dan kental
Anggaran masa memasak adalah 25 minit. Dalam masa 25 minit tu adunan dah pun masak
Keluarkan daun pandan.
Sediakan loyang 8 inc yang di lapis plastik dan di oleskan dengan baki minyak kelapa
Tuangkan adunan ke dalam loyang dan ratakan
Hentak-hentak loyang sedikit untuk menghilangkan gelembung udara
Taburkan tahi minyak di atasnya dan biarkan ia sejuk dan mengeras
Bila dah keras bolehlah di potong dengan pisau plastik yang di oles sedikit minyak kelapa.