Quantcast
Channel: masam manis
Viewing all articles
Browse latest Browse all 843

KARI CAMPUR

$
0
0

Resepi kari ni ita dapat dari seorang teman. Teman ita menyatakan beliau pernah makan dirumah kenalan berbangsa India di Pulau Pinang dan merasakan yang kari disediakan cukup enak sekali. Kerana teruja dengan kesedapan kari tersebut, beliau tanpa rasa segan silu terus meminta resepi. Kebetulan tuan rumah tidak lokek untuk berkongsi resepi.

Apakah yang membuatkan resepi kari itu sangat enak pada selera beliau?
Rupanya, tuan rumah menambahkan kacang badam dan gajus dalam kari tersebut supaya rasanya lebih lemak.

Semasa ita berbual dengan Chef Amir, dalam kelasnya yang pernah ita hadiri, Chef Amir telah memberikan satu rahsia untuk menyedapkan kari, iaitu dengan mencampurkan 2 rempah kari BABAS dan ADABI. "cubalah!!.. pasti anda akan sukakan rasanya yang enak dan aromanya yang memikat!"
Mendengarkan rahsia tersebut ita tak sabar-sabar lagi untuk mencuba!

Ketika ita ke pasar untuk membeli rempah, tauke India tu pula mencadangkan supaya ita meletakkan kas-kas dalam kari yang akan ita sediakan, katanya "pasti akak akan suka.. sampai mak mertua lalu pun akak tak nampak.." wah! pandai sungguh dia berkata-kata..

Kerana ramai sungguh yang baik hati memberikan ita rahsia untuk melazatkan kari, akhirnya hari ini ita mencuba gabungkan kesemua rahsia yang ita kumpul dalam satu resepi dan ita namakannya Kari Campur. Hasil campuran beberapa petua dari mereka-mereka yang tidak pernah lokek untuk kongsikan ilmu. Terima kasih semua..

Pada ita resepi kari ini memang cukup enak!  terasa rempahnya yang bergabung sekali dengan lemak kekacang. Cuma kuahnya agak pekat, ita rasa besar kemungkinan campuran kekacang dan juga tambahan buah keras yang ita letakkan.

Pada mulanya ita nak tambahkan air untuk mencairkan sedikit kuahnya, tapi suami ita pula tak benarkan kerana katanya rasanya sudah cukup sedap dan serasi. Jadi pada mereka yang tidak suka kuah yang pekat, bolehlah tambahkan air untuk mencairkan kuahnya sedikit.

Kuah kari ini ita hidangkan bersama Sambal Goreng Jawa dan Sambal Mempelam Muda, dimakan juga bersama ikan kering Gelama dan ulam-ulaman. Kerana anak-anak tak gemarkan ikan kering, ita gorengkan juga ikan kembung untuk dimakan bersama.



KARI CAMPUR

1 kg daging batang pinang ~ dipotong dan cuci bersih
2 sudu besar rempah kari ADABI
2 sudu besar rempah kari BABAS
2 tangkai daun kari
1 batang serai dititik
1 kiub daging
3 biji kentang ~ di potong 
1/2 biji santan kelapa
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Rempah Tumis
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum cengkih
3 kuntum bunga lawang
5 biji pelaga
1 sudu teh biji sawi
1 sudu teh halba
2 sudu besar kas-kas

Bahan Kisar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
7 tangkai cili kering
1 inc halia
1 inc lengkuas
1 batang serai
1 tangkai daun kari
1 sudu besar badam
1 sudu besar gajus
2 biji buah keras

Pijarkan minyak dalam kuali
Tumiskan semua rempah tumis hingga harum
Masukkan daun kari dan juga serai yang dititik
Kemudian masukkan Bahan kisar
Masak hingga harum
Tambahkan rempah kari BABAS dan ADABI, tumis hingga garing
Masukkan daging
Tambahkan air jika kuah pekat
Masukkan kentang dan masak hingga kentang dan daging empuk
Tambahkan kiub daging dan santan
Masak hingga didih
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
Biarkan kuah sedikit pekat.
Sedia dihidangkan.


SAMBAL PELAM

1 biji mempelam muda ~ diracik halus
3 biji lada merah ~ ditumbuk
20 biji cii padi ~ ditumbuk
belacan sebesar 50 sen
1 biji Jus perahan limau nipis
garam dan gula secukup rasa

Tumbuk cili merah, cili padi dan belacan hingga lumat
Perahkan air limau nipis
Tambahkan garam dan gula secukup rasa
Gaukan bersama pelam yang telah di racik halus
Sedia di hidangkan


SAYUR GORENG JAWA

4 keping tempe ~ dipotong dadu dan digoreng
3 keping tauhu ~ dipotong dadu dan digoreng
1/2 cawan ikan bilis ~ digoreng
10 gm suhun ~ direndam
Kacang panjang ~ dihiris serong
10 ekor udang ~ dibuang kulit
1 keping tauhu kering ~ direndam dan dipotong
4 ulas bawang merah ~ dikisar
2 ulas bawang putih ~ dikisar
1 sudu besar udang kering ~ dikisar
1 sudu besar ikan bilis ~ dikisar
1 sudu kicap manis
1 batang cili ~ dihiris
1 inc halia ~ dihiris halus
1 batang serai ~ dititik
garam secukup rasa


Panaskan minyak dan tumis bahan yg dikisar dan serai hingga garing dan harum. 
Setelah itu masukkan udang, kacang panjang, suhun, tauhu kering, tauhu, tempe, cili dan gaul rata. Kemudian masukkan kicap manis bersama garam. 
Kacau sampai masak





Viewing all articles
Browse latest Browse all 843